Geografi Sabah

Sabah, negeri yang kedua terbesar di Malaysia, terletak di utara kepulauan Borneo, pulau ketiga terbesar di dunia. Sabah meliputi kawasan seluas 73,500 kilometer persegi dengan pantai sepanjang 14,400 kilometer dengan Laut China Selatan terletak di pantai barat, Laut Sulu di sebelah timur laut dan Laut Sulawesi di sebelah selatan. Ianya bersempadan dengan Negeri Sarawak di sebelah Barat Daya sementara Kalimantan, Indonesia pula di sebelah selatannya. Selain daripada itu Negeri Sabah juga mempunyai lebih daripada 40 buah pulau yang menarik termasuklah Pulau Sipadan yang merupakan satu-satunya pulau lautan dalam di Malaysia.Negeri Di Bawah Bayu ini merupakan satu kawasan yang berbukit bukau. Ianya bergunung-ganang dan disilangi dengan sungai-sungai yang mengalir melalui lembah-lembah menerusi dataran tanah yang subur. Banyak gua telah ditemui di hutan-hutan Sabah. Gunung Kinabalu merupakan satu daripada gunung yang tertinggi di Asia Tenggara dengan ketinggian 4,095 meter.Lebih kurang 60 peratus daripada tanahnya diliputi dengan hutan rimba manakala kawasan tanah pertanian merangkumi 30 peratus.